Kerjasama Strategik MAIPk- Farm Fresh Lonjak Potensi Keusahawanan Asnaf
IPOH, 13 Mei 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited memperkasakan golongan asnaf menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) dengan menjalin kerjasama strategik bersama Farm Fresh Berhad bagi melahirkan usahawan baharu dalam bidang pemasaran dan penjualan produk syarikat tersebut.
MAIPk telah membelanjakan sebanyak RM58,084.20 sebagai modal pusingan serta kelengkapan perniagaan kepada 15 peserta yang terpilih berdasarkan kelayakan dan kriteria yang ditetapkan.
Kesemua peserta telah menjalani kursus intensif selama satu hari di RTC Gopeng dan menerima latihan penuh sebagai ejen jualan produk Farm Fresh.
Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman. Turut hadir ialah Pengurus Besar Farm Fresh Berhad, Abdullah bin Bakri.
Pihak MAIPk dan Farm Fresh akan memberikan bimbingan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan peserta berkembang menjadi komuniti usahawan yang produktif dan berdaya saing. Selain itu, program ini dijangka dapat menambah nilai kepada produk yang ditawarkan oleh peserta dalam usaha melestarikan perniagaan mereka ke arah yang lebih mampan dan berjaya.
Sama-sama kita doakan agar perniagaan para usahawan ini berjalan lancar dan berjaya, seterusnya mampu menyumbang kembali kepada ummah melalui zakat, insya-Allah.



