MAIPk ANJUR KESANTUNAN MELAYU MELALUI KOMIK DAN NARATIF RAKYAT
IPOH, 15 Disember 2025 - Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat di Dewan Al – Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan.
Program ini bertujuan mengangkat warisan adat Melayu yang masih diamalkan hingga ke hari ini berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat ini mendedahkan kandungan manuskrip Misa Melayu, iaitu sebuah karya sejarah berharga tentang Kesultanan Perak yang di dalamnya penuh adat dan ilmu Melayu.
Pendekatan kreatif dan kontemporari digunakan untuk menarik minat golongan remaja dengan menggunakan elemen visual yang mereka minati. Program ini menyediakan galeri komik bercetak, rerurai koleksi komik misa Melayu, ruang bacaan komik serta menonton video naratif rakyat. Dengan menggunakan platform tayangan video AR yang disertakan dengan alat audio pandang dengar yang sesuai dan interaktif, program ini membolehkan remaja menikmati cerita rakyat dalam cara yang lebih moden dan menghiburkan. Pendekatan ini menjadikan pengalaman tersebut lebih berkesan dan relevan dengan dunia digital yang mereka kenali.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh, semasa menyampaikan ucapan perasmian memetik , ini merupakan usaha MAIPk memelihara adat melayu Perak untuk diangkat semula dan menjadikan budaya masyarakat Melayu dikenali dan diwarisi kepada generasi muda. Diharapkan program ini akan menjadi platform yang efektif untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan tentang kesantunan Melayu.
Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat merupakan kajian Kelestarian Warisan Perak berlandaskan Islam yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik daripada UPSI, iaitu yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Anida Sarudin dan ahlinya iaitu Dr. Nur Syuhada Mat Sin yang juga dan Dr. Mohd Nik Mat Pelet dari UITM. Program santun pada hari ini melibatkan mahasiswa UPSI, murid-murid SMK Samudera, Manjung dan SK St. Michael, Ipoh.
Pihak MAIPk merakamkan penghargaan kepada semua pempamer yang telah memberikan sokongan dalam Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat antaranya ialah SMK Ser Samudera Manjung, Rebana Sayong, Tudung Saji, Kartunis Cikgu Saiful Thaqif serta KiroTerapi Usahawan MAIPk.


















